Monday, 12 December 2016

Dimanakah Integriti Seorang Blogger : Akta Hakcipta 1987


Assalamualaikum sahabat..

Saya terpanggil untuk menulis post ini bukanlah untuk beremosi, tetapi saya rasa saya perlu berterus terang tentang perasaan saya apabila bahan-bahan di blog saya ini di plagiat secara terang-terangan. Bayangkan ayat yang saya tulis di salin satu per satu. Bahan-bahan dan ayat saya best sangat heh? Sigh! Mungkin ada readers yang nampak saya menegur mereka-mereka ini di FB sehari dua ni.. Inilah puncanya...

Baiklah, biar saya mulakan dengan muqadimahnya dahulu. Cerita ini ikhlas dari hati, bukanlah niat nak bermegah-megah, harap tidak disalah ertikan.. Saya mula berjinak-jinak dengan blog sejak setahun yang lalu. Pada mulanya saya tidak berminat langsung untuk menjadi blogger, bukan apa, atas komitmen yang tergalas di bahu ini, saya rasakan sukar untuk saya menulis. Saya tidak menyangka post saya yang pada awalnya hanyalah untuk suka-suka telah menjadi viral di Facebook. Saya menulis tentang 'Cara Bagaimana Untuk Menebus Point Astro'. Tulisan saya telah dikongsikan puluhan ribu netizen. Manakan tidak, post saya itu juga menjadi-jadi kepopularannya apabila blog-blog terkenal seperti BeautifulNara, The Vocket dll juga mula menviralkannya.

Yes, tidak lama selepas post itu 'meletup', saya hasilkan pula 'tapak rph' yang saya bina sendiri menggunakan Microsoft Office Word. Saya menggunakan konsep 'drop down menu' yang sekali lagi mula menjadi viral di Facebook terutama dalam group-group pendidik. Sejak itu, saya dilamar oleh seorang blogger terkenal, mengajak saya berkolaborasi dengan beliau mengendalikan blog. Saya dijanjikan bayaran sebagai ganjaran mencurah idea di blog itu, malangnya janji hanya tinggal janji. Tidak perlulah saya menyebut nama blog itu, ia antara blog yang terkenal juga dikalangan guru-guru. Blogger tersebut sudah pun membuat permohonan maaf kepada saya. Tak apalah, saya anggap bukan rezeki saya nak jadi penulis di blog itu. Frankly, agak down juga masa tu.

Saya mula bangkit setelah rakan-rakan saya yang tahu kisah itu memberikan semangat dan sokongan kepada saya. Mereka mencadangkan saya membina laman blog sendiri supaya saya boleh kongsikan bahan-bahan yang saya buat/tulis kepada semua guru. Saya akhirnya bersetuju dan mula menulis, sedikit demi sedikit, dan saya promote sendiri di facebook hasil tulisan saya. Kebanyakkan tulisan saya berkisar tentang pendidikan, PdP, pengurusan kelas, ICT, panduan lawatan dll. Alhamdulillah, tulisan saya mendapat tempat di hati para pendidik. Tulisan saya menjadi trending di Facebook. Semakin hari semakin ramai yang datang singgah ke blog saya untuk mendapatkan bahan-bahan yang berkaitan. Saya bersyukur kerana pembaca meletakkan kepercayaan mereka kepada tulisan saya. Tulisan saya dikongsikan ribuan netizen. Saban hari saya menerima 'PM'  dan email bertanya macam-macam berkaitan post saya di blog ini.. Ada juga yang menjemput ke sekolah memberi ceramah. Ada juga yang sanggup menjadi 'personal shopper' saya setelah berkenalan dengan saya melalui blog dan tulisan saya tentang Trip di Hong Kong. Saya seronok, dan rasa sangat terharu, bila mana segala ilmu dan kebaikan yang saya curahkan di blog ini, terkesan di hati sebilangan pembaca. Kami jadi akrab.

28 November lalu, saya post hasil kerja saya di Facebook. Kandungan Fail Ringkasan Mengajar 2017 menjadi viral sekali lagi. Perkongsian melebihi 10k adalah pencapaian yang boleh saya banggakan. Ya, saya orang pertama yang kongsikan bahan untuk guru-guru membuat persediaan bagi tahun 2017. Apa yang mengecewakan saya, sejak post saya itu menjadi viral, saya dapati banyak individu-individu yang tidak bertanggungjawab mula 'menceduk' hasil tulisan saya bulat-bulat dan meletakkan dalam blog mereka. Bahan-bahan saya di'curi' dan di 'republish' tanpa kebenaran saya. Saya tidak marah jika mereka mahu mengguanakan bahan saya tetapi menceduk 100% tulisan saya adalah suatu perbuatan yang sangat keji dan tidak beretika. Setidaknya berilah kredit kepada penulis asal (saya). Ini adalah tentang etika berblog. Perlu saya tegaskan, segala tulisan serta bahan saya dalam blog ini ada hak milik saya. Memang ada beberapa bahan dalam blog saya ini saya peroleh dari rakan-rakan saya, tetapi sebagai penulis yang mengamalkan etika penulisan yang baik, saya letakkan kredit kepada mereka. Dan.. Untuk pengetahuan semua, mereka telahpun bersetuju untuk saya masukkan bahan mereka ke dalam blog saya. Saya sudah minta izin dari mereka. Setidaknya, satu dunia tahu itu adalah bahan 'si polan', dan bukanlah bahan saya. Untuk menjadi blogger yang hebat, anda perlu tahu tentang isu 'copyright' supaya anda tidak berdepan dengan masalah pada masa akan datang. Alhamdulillah, saya jaga bab tu. Saya agak konservatif bab-bab macam ni. Saya cuba sedaya upaya untuk tidak 'claim' bahan yang saya masukkan ke blog ini sebagai bahan saya sekiranya bahan tersebut adalah sebenarnya hal milik orang lain. Selain itu juga, saya juga sedaya upaya untuk memastikan bait-bait ayat yang ditulis adalah purely tulisan saya. Tak berani nak ceduk ayat orang lain tanpa beri quote. Belajarlah jadi blogger yang berintegriti ya. Bagi saya simple, kalau tidak mampu menulis, berhenti jadi blogger!

Pada mulanya saya bersabar dan menganggap masalah bahan saya diceduk ini adalah hal biasa dalam dunia blogging. Saya cuba diamkan walaupun semakin hari semakin bertambah 'pencuri-pencuri' isi kandungan blog saya dengan bangganya mencari 'LIKE' dan 'SHARE' di Facebook. Saya tidak kisah sekiranya bahan yang saya kongsikan diguna pakai oleh orang lain. Cuma, apa yang membuatkan saya rasa terkilan ialah, ayat saya disalin satu per satu.. Langsung tiada effort untuk mereka menulis sendiri. Dan paling menyedihkan... apabila disemak, saya dapati penulis-penulis yang 'mencuri' hasil masterpiece saya ini kebanyakkannya meletakkan iklan di link mereka. Sudahlah ambil bahan saya, diletakkan iklan pula. Jadi apa motif mereka sebenarnya? Sudah tentu berniaga! Sudah tentu nak mencari keuntungan. Sedangkan saya kongsikan bahan secara PERCUMA, mereka yang plagiat bahan saya pula yang 'buat duit'. Bukan dengki, tapi rasa sangat tidak patut. Kronologinya begini, mereka songlap bahan-bahan saya yang berkualiti, masukkan semuanya dalam blog mereka, letakkan iklan, dan cari 'mangsa'. Siapa mangsa tu? Mangsa tu adalah dikalangan pendidik juga, yang mahukan bahan-bahan terbaik yang saya kongsikan. Saya sedih, ada pendidik yang greedy sebegini rupa. Sanggup menggadai maruah, mencetak rompak hasil kerja orang lain dan jadikan bahan yang diceduk seolah-olah mereka yang punya! Lembu punya susu, sapi yang dapat nama. :( Memang saya ikhlas sedekah bahan disini, tapi bukanlah untuk diperdagangkan pula.. Niat saya mahu bantu guru-guru. Jadi gunakanlah platform ini sebaik mungkin. Hentikan plagiat! Kalau mahu beriklan, berniaga, buatlah. Saya tidak sesekali menghalang. Tapi silalah iklan dalam hasil tulisan sendiri. Kalau malas menulis, malas nak buat bahan, malas berusaha, duduk diam-diam. Jangan tamak, Allah marah!

Bukanlah saya hadap nak kejar populariti, tapi bagi saya, sebagai seorang yang professional, mereka tidak sepatutnya melakukan hal sebegini. Bukan satu dua blogger yang ambil bahan saya dan publishkan dalam blog mereka, ada beberapa orang yang saya puji, sanggup PM/email dan minta kebenaran dari saya untuk masukkan ke blog mereka. Ya, memang mereka letak bahan saya di blog mereka tapi mereka buat ayat mereka sendiri. Walaupun hanya sebaris dua ayat sahaja. Saya tetap hargai. Paling tidak mereka letakkan kredit kepada saya dalam tulisan mereka "bahan ini dikongsikan oleh Cikgu Raihan Jalaludin". Kredit itu penting, bukan sebab populariti tetapi lebih kepada adab. Adab kita mengambil barang orang.. Saya tak harap pun orang ucapkan terima kasih kepada saya, cukup sekadar doa anda semua yang terbaik untuk saya.. Tapi macam saya cakap tadi, semua ni berkaitan dengan ADAB. Adab berblog, adab mengambil barang orang, adab menulis dan lain-lain adab lagi.. Tak luak apa-apa pun kalau ucap terima kasih kan? Jika anda berminat dengan mana-mana tulisan saya, janganlah salin bulan-bulat (copypaste), sebaiknya buatlah ayat sendiri (rephrase). Come on, professional lah sikit, kata blogger! Hargai penat lelah penulis asal. Kesian penulis asal habiskan masa berjam-jam lamanya untuk siapkan satu post. Nak sedia bahan tak usah ceritalah, dah tentu berhari-hari nak siapkan... Nak crop gambar, nak edit tulisan, nak cari tajuk yang menarik, nak buat research, nak screencaps, nak perah otak untuk menulis..dan macam-macam lagi.. :(

Saya bukanlah sempurna, tapi sesungguhnya saya sangat kesal dan hampa dengan golongan yang tidak beradab seperti ini. Pesanan saya, janganlah jadi pendidik yang tamak, sudahlah bahan pun diceduk dari blog orang lain, pasang pula iklan di link untuk rakan-rakan guru mendapatkan bahan adalah satu tindakan yang sangat tidak wajar. Kasihan. Saya view profil, kebanyakkan pakai nama samaran. Salah seorangnya merupakan guru JQaf. Seorang yang patut dihormati dan tinggi pengetahuan agama. Guru JQaf. Rata-rata guru JQaf di Malaysia ni lulusan Al-Azhar belaka.. tapi malangnya, dia juga terjebak dalam kerakusan mengejar hal duniawi seperti ini. Ada dikalangan mereka ini, pendidik nusa bangsa. Selalu kita rasa marah bila orang luar mengutuk profession keguruan. Tetapi kalau beginilah nilai integriti yang kita amalkan, tidak mustahil golongan pendidik akan terus dikecam. Hanya kerana nila setitik, habis rosaklah susu sebelanga. Nauzubillah. Saya dah buat teguran secara baik di FB, tapi masih tak diendahkan. Nampak tak? Ghairah dan rakusnya mereka ini mengejar keuntungan!

Mengapa saya berkongsikan bahan yang boleh diubahsuai? Ada guru yang mencadangkan kepada saya untuk meletakkan watermark/jadikan bahan tersebut tidak boleh diedit. Saya nyatakan disini, niat saya berkongsi adalah untuk memudahkan rakan-rakan seperjuangan saya, para pendidik khususnya, jadi saya seboleh-bolehnya mencari jalan untuk memudahkan kerja mereka. Saya faham, bukan semua orang pandai IT, pandai nak edit itu ini, sebab tu saya letakkan bahan yang mudah bagi mereka untuk ubahsuai. Itu tujuan asal saya. Satu lagi, kalau letak watermark bagai pun, ada je yang pandai nak ubahsuai.. Apapun, terletak kepada nawaitu kita.

Saya tidak masukkan bahan direct dalam Facebook tetapi saya suka kongsikan link post saya, tahu kerana apa? Pertama, kerana saya mahu pembaca membaca post saya sepenuhnya. Kedua, saya mahu pembaca faham apa yang saya tuliskan kerana dalam post lah tempat saya mencatat sumber bahan saya, samada bahan saya sendiri atau bahan sabahat-sahabat saya. Ketiga, kadang-kadang saya juga ada membuat penerangan secara detail satu per satu, langkah demi langkah dan tutorial bergambar, jadi saya mahu reader hadamkan dan fahamkan betul-betul keseluruhan post yang saya tulis. Dalam Facebook tak praktikal nak tulis panjang-panjang... Keempat, saya mahu pembaca menyelami perasaan saya dalam tulisan yang saya tulis. Bukan hanya singgah di blog saya, ceduk bahan dan keluarkan pula di blog lain. Kelima, saya mahu menjaga isi kandungan bahan saya supaya tidak 'terdedah'. Kadang kala dalam bahan tu ada nama penuh seseorang, ada macam-macam maklumat.. Bukan semua orang boleh terima maklumat dikongsikan secara 'open' sebegitu! Tolonglah buka minda. Janganlah jumud sangat. Zaman sekarang bukan macam zaman dahulu, macam-macam orang boleh buat dengan maklumat peribadi seseorang. Akhir sekali, saya mahu kumpulkan tulisan-tulisan saya ini dengan baik di dalam blog. Biar jadi kenangan. Umpama diari.

Jadilah blogger yang beretika dan berintegriti. Barulah blog anda boleh dipercayai. Jangan cemarkan reputasi blog anda dengan sikap anda yang sebegini. Jangan sampai nanti diambil tindakan atas tuduhan 'plagiat hasil kerja orang lain'. Setiap hasil karya akan mendapat hakcipta secara automatik selagi kita ada bukti yang sah bahawa kita adalah penulis asal. Jangan pandang remeh benda sebegini ya.. Tak pasal-pasal kena bayar royalti pula nanti! Mintak simpang. Rujuk Akta Hakcipta 1987 untuk panduan bloggers di luar sana dan juga untuk diri saya sendiri agar kita tidak tersasar dari landasan yang sebenar sebagai penulis. Selain itu, suka saya mengingatkan, walaupun tak kena di dunia, di akhirat pasti.. akan ditanya.

Mohon maaf jika terkasar bahasa. Saya meluahkan apa yang saya rasa. Kesedihan saya. Apabila hasil karya saya diperlakukan sebegini rupa. Saya tak nak apa-apa, saya ikhlas berkongsi dengan semua, ilmu.. lagi dikongsi lagi banyak yang kita dapat. Andai ada kesilapan, mohon tegur-tegurlah saya. Terima kasih kepada yang terus menyokong saya. Admin group FB yang memahami perasaan saya.. Rakan-rakan seperjuangan saya, KJ, KN, Firman, Aishah, Ariff, Kak Amy, Yassir, Mei, Kamal, Amir, Gmie, Rina, Sasi, Kak Na.. dll.. Terima kasih kerana sudi mendengar cerita saya! Saya doakan kalian berjaya, terhindar dari kelakuan-kelakuan sebegini dan sentiasa dibawah lindunganNya. Ameen.

 Nota kaki: Tidur lena sebab dah luahkan segalanya disini... :)

2 comments:

  1. yang paling sakit hati...bile kita dah dijanjikan bayaran, tiba2 janji tu dimungkiri. Apa la punya manusia

    ReplyDelete
  2. Itulah..nasib baik masa tu saya baru tulis dua artikel. Saya halalkan je la. Kalau dah tulis banyak, mau saya cari dia. Haha. Apa pun, jangan sesekali offer bayaran jika tidak mampu untuk membayar. Fikir dulu sebelum buat offer. Lagi pun bukan semua blogger hadap nak duit. Ada je yang nak jadi penyumbang artikel secara percuma. Deal betul-betul, boleh je kan. Asal jangan buat janji, pastu tak ditepati, tu lagi buat orang marah. kan! :)

    ReplyDelete